Wednesday, June 27, 2012

Pertama Dan Terakhir


Selepas pemergian Almarhum Dato Meor pada 23 Jun 1991, buat pertama kalinya pengkhataman keris dilaksanakan tanpa beliau. Pengkhataman Keris ini diketuai oleh Arwah Cikgu Kalsom sebagai Waris Mutlak kepada Almarhum Mahaguru Silat Seni Gayong. Pengkhataman dijalankan di Pengkalan Balak , Melaka pada 13-15 Jun, 1997. Semasa program ini diadakan pelbagai aktiviti dijalankan bersama . Mandi minyak, syafaat wujud,penyampaian bengkong, demonstrasi dan acara utamanya pengkhataman Seni Keris.

Penanda jalan diletakkan disetiap simpang dari Masjid Tanah hingga ke tempat acara. Chalet penginapan di Pengkalan Balak keseluruhannya ditempah untuk ahli Gayong.Ahli jawatankuasa kerja pengkhataman telah mula berada disitu mulai dari hari Jumaat. Pada hari Sabtu kesemua perserta mendaftarkan diri dan berkumpul untuk acara pengkhataman yang akan berlangsung pada hari Ahad.

Pada malam Ahad acara mandi minyak memulai program , dengan penyediaan empat kawah. Tiga kawah untuk perserta lelaki dan satu kawah untuk perserta wanita. Setiap kawah diketuai oleh seorang Dalang Mandi Minyak.Kawah pertama diketuai oleh Cikgu Muhammad Mohd Nor dari Melaka, Kawah kedua di ketuai oleh Cikgu Radzwan Razak dari Selangor, Kawah ketiga diketuai oleh Cikgu Kamaruddin Abdullah dari Selangor dan kawah keempat diketuai oleh Cikgu Sani Morni dari Selangor.Kawah yang mula-mula sekali dicelup minyaknya adalah kawah Cikgu Muhammad diikuti kawah Cikgu Radzwan, Cikgu Sani dan akhir sekali kawah Cikgu Kamaruddin.

Khatam Seni Keris 1997

Keesokan harinya acara utama iaitu pengkhataman keris dilaksanakan.Disertai dengan penuh adat-istiadat ia disempunakan oleh Arwah Cikgu Kalsom keatas hampir 70 orang peserta.Peserta ini telah mengikuti latihan kursus Seni Keris hampir dua bulan di Pusat Sukan Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mereka menerima latihan Seni Keris dari Cikgu Kamaruddn Abdullah dan Cikgu Radzwan Razak.Pada masa hari pengkhataman itu semua peserta kursus menerima buah tikaman akhir iaitu buah 21 dan sempurnalah pengkhataman Seni Keris tersebut.

Selesai majlis pengkhataman acara penyampaian bengkong pula dijalankan. Penerima bengkong terdiri Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti, Bengkong Pelangi Kuning dan Bengkong Pelangi Merah.

Setelah semuanya selesai acara syafaat wujud dilakukan pula.Ia dijalankan oleh 7 orang. Syafaat Wujud ini adalah pembuangan jarum dari perlimau tapak dan seni setiap anak Gayong. Apa yang diberitahu pada kami jarum ini telah dikumpul semenjak dari tahun 60an lagi.Pembuangan jarum ini dilakukan ditengah laut.

Kesemua acara telah berjaya dan selamat disempurnakan dan ia meninggalkan nostalgia pada yang terlibat kerana itulah satu-satunya majlis pengkhataman Keris yang djalankan oleh Arwah Cikgu Siti Kalsom dan pertama kalinya tanpa bersama Almarhum Dato Meor. Selepas pada itu majlis pengkhataman ini kebanyakannya dijalankan oleh mereka-mereka yang mempunyai tauliah untuk penyempurnaannya selepas kembali Arwah Cikgu Siti Kalsom ,Waris Mutlak Silat Seni Gayong kerahmattullah.

Semoga roh  Zuriat –zuriat Silat Seni Gayong,Almarhum Dato Meor dan beliau dicucuri rahmat.Amin

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...