Friday, November 11, 2011

Adat Dan Tertib Bergelanggang

Kita sering melihat atau mengalami sendiri pengalaman membuka atau menutup gelanggang. Tetapi tahukah kita dalam melakukannya ia mempunyai  3 kaedah? Apa yang sering kita lihat adalah tertib pembukaan gelanggang secara bulatan. Ianya sering dilakukan dimana-mana gelanggang Silat Seni Gayong.

Tertib atau kaedah ini terbahagi kepada tiga :

1)      Kaedah membuka atau menutup gelanggang dalam bulatan atau lingkaran. Kaedah atau tertib ini sering dilakukan kita. Apabila melakukan tertib ini , semasa membuka gelanggang senioriti diambil kira. Bagi yang paling senior hendaklah berada disebelah kanan gurulatih yang mengajar semasa membuka gelanggang . Perkara yang sebaliknya dilakukan semasa menutup gelanggang , iaitu yang paling kanan tahapnya dalam gelanggang akan berada disebelah kiri gurulatih yang bertugas.

Jika didalam gelanggang itu tiada yang kanan , semua pelatihnya adalah baharu , maka ketika itu pelatih wanita diambil sebagai yang kanan sekali kerana pelaith wanita akan menjalankan perlimau seni.


2)      Kaedah yang seterusnya adalah kaedah dalam barisan atau bentuk dam. Kaedah ini dilakukan apabila pelatih dalam jumlah yang ramai. Gurulatih yang bertugas akan berada di hadapan manakala pelatih yang kanan mengikut peringkat bengkong akan berada dibelakang.Begitulah susunannya mengikut peringkat masing-masing.


3)      Keadah yang terakhir dalam tertib membuka dan menutup gelanggang adalah kaedah “U” atau ladam kuda. Kaedah ini mengikut ceritanya dilakukan diatas kapal semasa pelayaran. Gurulatih yang bertugas akan berada ditengah manakala pelatih yang paling  kanan akan berada disebelah kanan gurulatih semasa membuka gelanggang. Apabila menutup gelanggang, pelatih yang paling kanan akan berada disebelah kiri gurulatih.


Kesemua tertib dan kaedah ini diakhiri dengan salam Gayong selepas setiap latihan.Didalam menjalankan kaedah salam ini pesilat yang telah diatur sebelum dan selepas bergelanggang akan mengikut turutan dan peringkat masing-masing bersalam hingga selesai.Gurulatih akan menjadi orang yang terakhir sekali pelatih bersalam.

Jika dilihat dan diamati dari tertib ini ia mengajar anak-anak Gayong menghormati antara satu sama lain, berdisiplin , mengelak sengketa selepas latihan dan mengeratkan silaturahim .

Seni Gayong seni asli ,
Naungan dari empunya diri ,
Hikmat zahir dengan sendiri ,
Moga kita  diberkati.

1 comment:

  1. Saya mintak izin untuk sebarkan info dalam post Cikgu ini pada blog saya ...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...