Tuesday, May 29, 2012

Kenangan Bersama Almarhum Dato Meor Abdul Rahman


Sambil duduk termenung mencari cerita yang ingin dikongsikan bersama anak-anak Gayong, terlintas dalam fikiran ku semasa aku diperlimau tapakkan oleh Almarhum Dato Meor Abdul  Rahman. Sedih dan sebak bila terkenangkan beliau. Apa pun pengalaman bersama beliau sedikit sebanyak dapat juga  aku kenali Seni Gayong ini. Walaupun peristiwa itu telah terlalu lama berlaku tetapi ia amat segar dalam ingatan ku.

Malam itu kami semua berjumlah 40 orang yang datang dari pelusuk tempat.Aku masih boleh ingat wajah mereka tetapi nama-nama mereka tidak ku ketahui.Adalah amat sedih sekali didalam jumlah 40 orang itu sehinggalah kehari ini aku hanya terjumpa itu pun kekadang hanya 2 orang sahaja. Itu pun secara tidak sengaja. Terasa pilu kerana mereka yang aku jumpa ini sudah tidak aktif lagi bergelanggang dan hanya memerhatikan perkembangan Gayong dari jauh.

Susunan baris duduk dilakukan sebelum upacara perlimau dijalankan. Semua peralatan telah disediakan lebih awal lagi. Kelihatan susuk tubuh yang tegap menghampiri  tempat kami dibariskan, dan muncullah Almarhum Dato Meor Abdul Rahman , Mahaguru Silat Seni Gayong dengan wajahnya yang manis tetapi serius. Lalu beliau duduk menghadap kami yang telah sedia duduk dalam barisan.

Upacara perlimau pun dimulakan dengan pembakaran kemenyan, diambilnya bertih lalu ditaburkan kedalam air dan dengan menunduk beliau mengira jumlah bertih itu.Terkeluar dari mulutnya ,”40 orang ya”.Lantas disuruh seorang mengira jumlah kami dan nyata bilangan itu adalah tepat. Almarhum berkata lagi, “ jumlah yang baik dan kumpulan yang baik bilangannya ini”. Lalu beliau menyambung lagi, “ malam ini Dato nak bagi sesuatu”. Aku  yang berada dalam barisan paling tengah bertanya dalam hati, “apakah yang hendak diberikannya?”.


Gambar Hiasan

Upacara potong limau berjalan dengan lancar dan dikalangan bilangan kami tadi seorang dari kami telah ditabalkan dengan sandang Khalifah Muda semasa upacara perlimau itu . Mungkin itulah agaknya firasat yang diterima oleh Almarhum. Setelah selesai upacara perlimau dan kami masih duduk dalam barisan, lantas Almarhum berkata lagi,”malam ini dato nak bagi amalan, kerana kumpulan ini kumpulan terbaik dalam firasat Dato”. Kami pun menumpukan atas apakah bacaan amalan yag akan diijazahkan. Maka beliau pun membaca sepotong ayat dari AlQuran dan meminta kami mengingatinya. Lalu beliau berpesan tentang hikmah dan khasiat amalan tersebut.

Almahum Dato menyambung lagi dengan amalan seterusnya. Kali ini diijazahkan amalan membersihkan diri  iaitu mandi Gayong. Bacaan ini adalah dalam bacaan mentera.sekali lagi kami kena mengingatinya, dan diterangkan juga khasiat dan hikmahnya. Pada malam itu sahaja kami diijazahkan dengan beberapa amalan dan dinasihatkan supaya mengamalkannya.

Setelah semuanya selesai dan Almarhum Dato beredar kami pun bergegas mengambil apa sahaja yang boleh ditulis lantas menulis amalan yang diberikan. Ada dikalangan kami yang duduk dibarisan belakang sempat menyalin semasa Almarhum melafazkannya dan mudahlah bagi kami yang tidak sempat ini menyalinnya semula. Selesai semuanya kami pun bergilir berlangir limau dan menyempurnakan mandi Gayong sebagaimana adatnya yang dijelaskan pada kami. Pengalaman bersama Almarhum memang sukar dilupakan dan setiap kali terkenang akan menitiskan airmata. Dimohonkan pada Allah semoga dcucuri Rahmat keatasnya dan mendapat berkat syafaat Nabi Muhammad s.a.w. AMIN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...