Friday, February 13, 2015

Siapakah Pewaris Yang Layak Menyampaikannya..?



Makin lama makin terkeliru kita dengan pelbagai andaian dan jawapan tersendiri akan hal adat persandangan malah semua yang bersangkutan dengan adat dan ilmu dalam Silat Seni Gayong ini.Ia dilihat dan diterima dengan baik jika ianya membina, tanpa meninggalkan atau mengenepi atau membuang terus apa yang telah disusun yang telah dan mendapat pengesahan pengasasnya sendiri. Beliau sedia maklum akan hal tersebut,persoalannya kita yang terlalu ramai menunjuk tahu dalam hal yang kita tidak tahu. Tidak mengapa tidak tahu carilah untuk tahu jangan tidak tahu tapi buat-buat tahu.

Pertabalan dan penganugerahan sandang dalam Silat Seni Gayong selepas tiadanya Almarhum Dato Meor Abdul Rahman siapakah pewaris yang layak menyampaikannya. Untuk menjadi pewaris penyampaian ini kenalah dilihat beberapa kriteria yang penting :

1]  Mempunyai ilmu tentang adat istiadat penyampaian,pertabalan sandang kebesaran Silat Seni Gayong ini. Mungkin kita akan bertanya apakah ilmunya itu? Silat Seni Gayong ini bersendikan adat dan meletakkan islam sebagai keutamaannya yang tidak berubah. Pelaksanaan ilmu semasa menjalankan majlis ini perlulah diketahui adat tertibnya sebelum , semasa dan selepas. Persediaan sebelum majlis bagaimana, dalam erti kata susun aturnya, peralatannya dan lain-lain.Jika dikatakan adat Gayong ini adat istana Raja-raja maka perlu ada semua ini. Semasa pelaksanaannya pula bagamana adat dan adapnya, bagaimana doa dan lafaznya, bagaimana penerimaannya dan lain-lain. Pengakhirannya selepas penerimaannya, diketahui atau tidak tugas dan fungsinya, bagaimana mahu menjaga adap dan tertibnya dan lain-lain. 

2]  Penyampai mestilah menerima mandat dan diijazahkan akan ilmu dan segala kaedah pertabalan sandang ini.Cara ini akan menurunkan sanad pengijazahannya kepada yang berkelayakan dengan ilmu yang dituntutnya dalam Silat Seni Gayong ini. Pengijazahan ini adalah satu pengiktirafan dari yang mempunyai kuasa dan ilmunya tentang hal adat istiadat penyandangan ini. Sebagai contoh pengijazahan Almarhum Dato Meor kepada anak-anak Gayong yang taat setia untuk menjalankan perkara ini seperti Cikgu Kalsom dan lain-lain.

3]  Ilmu yang dimiliki ini mestilah ilmu yang dituntut bukan ilmu yang diikut-ikutan. Banyak sudah yang terjadi mengambikira penyampaian pertabalan sandang ini satu kerja yang mudah sekadar menyandang dan meletakkan keris dibahu.Bukan sahaja dalam hal penyandangan dan hal lain juga berlaku pelangaraan adat istiadat Silat Seni Gayong ini sebagai contoh dalam hal perlimau dan lain-lain.Jika kita tiada pengijazahannya maka tidak perlulah kita mahu berlakon yang kita tahu cukuplah sekadar kita menjadi penyokong dan bersama berkerjasama dalam pengendaliannya dan sesama kita mencari keberkahannya.
Contoh Gambar Design dan Saiz Sandang Lengkap Yang Ada Dalam Simpanan Penulis

Itulah ciri-ciri penting perlu diambil kira.Ilmu perlu diteruskan dan bukan hilang dalam perjalanan.Ilmu yang diteruskan ini mesti dan wajib mempunyai jalinannya yang benar akan ilmunya itu.Jadi bagi sesiapa sahaja yang mempunyai kriteria dan tanggungjawab sedemikan maka jalankanlah tugas dengan jujur dan ikhlas suapaya kita bersama mendapat berkatnya.Dato Meor Abdul Rahman sudah meninggalkan kita, yang tinggal dengan kita berkatnya sebagai guru.Janganlah kita cemari institusi yang telah dibina ini, marilah kita bersama memartabatkannya mengikut perjalanan tuntutan keilmuan yang benar.Memang pahit untuk mengaku akan kelemahan diri dan kekurangan tapi itulah sebahagian nikmat yang kita tidak mahu rasainya.

Semoga dengan pencerahan ini dapat membuka minda anak-anak Gayong dan bersama memertabatkan Gayong ini agar saling berpadu menuju hajat yang dituju dengan penuh keberkatan.

Semoa kita semua diberkati.


Sunday, February 1, 2015

Senarai Sandang Silat Seni Gayong



Beberapa permintaan diajukan supaya dikongsikan senarai sandang-sandang semasa Almarhum Dato Meor Abdul Rahman masih bersama anak-anak Gayong. Jika dilihat evolusi sandang ini begitu ketara sekali selepas ketiadaan beliau. Apa pun mungkin ianya hanyalah pengolahan bagi apa kehendak dan pengertian mereka yang menyusunnya . 

Sebagai perkongsian sandang-sandang yang ada dan ditandatangani pengesahannya semasa adanya Almarhum Dato Meor Abdul Rahman hanyalah berjumlah 13 sahaja bagi sandang berjawatan dan hanya 8 sahaja bagi sandang kehormat.Bagi penulis inilah panduan atau menjadi perkara wajb bagi anak-anak Gayong mengambilnya sebagi ukuran pemakaiannya tanpa ada tokok tambah yang kekadang menjadi kekeliruan pada generasi yang menenpuh alam berGayong ni.Apa pun penerimaan mahulah diterima secara terbuka dan bagi penulis penekanan pada yang asal tidak boleh diketepikan.Buat penulis yang masih berpegang dan mengekalkan sistem ini dan berpendapat ianya perlu dikekalkan kerana ada rahsia yang tersembunyi disebaliknya.

Jika dalam memajukan pentadbiran dan berevolusi itu satu perkara yang baik untuk kemajuan dan pembangunan. Tetapi dalam sistem adat mahu pun pelajaran kegurulatihan ianya perlu pengekalan walaupun dalam kegurlatihan boleh ditingkatkan kaedah pedagoginya agar ianya lebih mantap dan berilmiah dari mengadakan apa yang tidak ada, diadakan dalam sisitem pelajaran Gayong ini.

Disenaraikan disini nama-nama sandang yang disahkan oleh Alamrhum Dato Meor Abdul Rahman :

Senarai Nama Sandang Yang DiTandatangani Oleh Almarhum Dato Meor Abdul Rahman

Sandang Berjawatan :

Seri Mahkota Agong Chula Sakti , Seri Mahkota Agong Chula Pelangi, Seri Mahkota Agong Pelangi Sakti, Seri Mahkota Agong Bintang Sakti , Seri Mahkota Agong Relang Pelangi, Seri Mahkota Bintang Pelangi , Seri Mahkota Relang Pelangi , Seri Mahkota Cahaya Pelangi , Seri Chula Pelangi , Seri Bintang Pelangi , Seri Relang Pelangi , Seri Cahaya Pelangi , Seri Pelangi .

Sandang Kehormat :

Mahkota Agong Seri Pelangi , Mahkota Agong Seri Bintang Pelangi , Mahkota Agong Seri Relang Pelangi, Mahkota Seri Bintang Pelangi, Mahkota Seri Relang Pelangi, Mahkota Seri Cahaya Pelangi , Mahkota Chula Pelangi, Mahkota Bintang Pelangi.

Semoga dengan perkongsian dan pencerahan ini menjadi renungan anak-anak Gayong akan sejarah yang telah tercatat secara bertulis dan terpulanglah pada kita sejauhmana kita perlu atau mahukan pengekalannya.Sebagai pandangan dan rumusan ianya  terlalu banyak kekeliruan yang terjadi sekarang ini.Semoga anak-anak Gayong yang semakin bijak dapat menilai mana intan, mana permata dan mana berlian.

Semoga kita semua diberkati.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...