Thursday, November 3, 2011

Pertabalan Dalam Silat Seni Gayong


Pertabalan Arwah Cikgu Siti Kalsom Dan Arwah Razali Salleh Pada Tahun 1989

Pertabalan dalam konteks Silat Seni Gayong adalah pengurniaan sandang-sandang samada berjawatan mahupun kegurulatihan mahupun adat. Sebagai contoh sandang adat dikenali atau digelarkan sebagai Waris Beradat manakala contoh sandang kegurulatihan adalah Khalifah Muda.Ada juga sandang yang dikurniakan kepada ahli-ahli politik atau penjawat jawatan dalam kerajaan atau orang yang berjasa kepada masyarakat. Kesemua sandang-sandang ini dikurniakan dalam majlis adat-istiadat yang amat dijaga tertibnya.

Pada masa hidupnya Arwah dato Meor Abdul Rahman , setelah siapnya balai adat di Taiping, segala majlis adat dijalankan disitu.

Dalam setiap penyampaian atau pertabalan disediakan alat-alat sebagai memyempurnakan majlis tersebut.Diantara alat-alat yang disediakan adalah:

Kumpulan Nobat yang bertugas memainkan nada sempena majlis pengurniaan pertabalan tersebut mengikut nada nobat yang ditentukan semasa tertib mengambil tapak majlis penyampaian.

Daun sambar yang disediakan sebagai alat untuk melakukan tepung tawar semasa penyampaian yang dilsapukan keatas bahu, kepala dan tapak tangan.

Sebilah Keris yang digunakan untuk menyatakan bahawa pertabalan itu telah dimasyhurkan. Keris ini diletakkan dibahu dan dicium setelah lafaz dilakukan.

Tepung tawar yang disediakan untuk menyatakan bahawa penerima dengan rasminya telah menerima penyampaian pertabalan tersebut.

Kemenyan yang dibakar semasa majlis itu untuk memberikan haruman yang boleh menceriakan suasana.
Sandang-sandang mengikut peringkat yang disampaikan.

Sebelum majlis dijalankan acara mengambil tapak untuk memohon izin menyempurnakan majlis dilakukan. Kemudian barulah dimulakan dengan mengikut peringkat penyampaian.Penerima akan diiringi dengan dua orang pengapit dikiri dan kanannya semasa mengadap untuk menerima pertabalan tersebut dan mereka akan disandangkan dengan anugerah masing-masing dibahu atau pun diletakkan diatas lengan. Semasa ini dilakukan peserta akan ditepung tawar dan diikuti dengan meletakkan keris dibahu dengan lafaznya dan diakhiri dengan ciuman pada keris. Kesemua proses ini diiringi dengan nada nobat pertabalan.

Setiap perserta yang menerima pertabalan ini hendaklah menjaga tata susila semasa memakai sandang tersebut terutamanya apabila mengangkat tanda hormat.Adalah dilarang mengangkat tanda hormat pada seseorang yang taraf sandangnya adalah lebih rendah dari pemakainya. Sekiranya ini berlaku maka secara automatik gugurlah martabat sandangnya dan majlis penyampaian perlu dilakukan semula.

Sekiranya penerima sandang ingin mengembalikan sandang yang diterima , satu majlis penyerahan perlu dilakukan dan ia hendaklah disertai dengan dulang yang bertutup dengan kain kuning dan sandang yang hendak dikembalikan diletakkan diatasnya lalu disampaikan mengikut tertibnya.

Apa pun kebanyakan tertib ini sudah tidak dijaga lagi kerana kemungkinan kekuranganya kefahaman tentang kaedah pertabalan yang sepatutnya. Oleh itu satu usaha untuk mengembalikan nostalgianya haruslah dilakukan agar ianya menjadi kesinambungan akan datang.


Dalam adat tersembunyi  rahsia,
Rahsia yang dijaga sealam dunia,
Pertabalan jangan disia-sia,
Agar kekal  hikmah yang mulia.

1 comment:

  1. Saya mintak izin untuk sebarkan info dalam post Cikgu ini pada blog saya ...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...