Sambil duduk termenung mencari
cerita yang ingin dikongsikan bersama anak-anak Gayong, terlintas dalam fikiran
ku semasa aku diperlimau tapakkan oleh Almarhum Dato Meor Abdul Rahman. Sedih dan sebak bila terkenangkan
beliau. Apa pun pengalaman bersama beliau sedikit sebanyak dapat juga aku kenali
Seni Gayong ini. Walaupun peristiwa itu telah terlalu lama berlaku tetapi ia
amat segar dalam ingatan ku.
Malam itu kami semua berjumlah 40
orang yang datang dari pelusuk tempat.Aku masih boleh ingat wajah mereka tetapi
nama-nama mereka tidak ku ketahui.Adalah amat sedih sekali didalam jumlah 40
orang itu sehinggalah kehari ini aku hanya terjumpa itu pun kekadang hanya 2
orang sahaja. Itu pun secara tidak sengaja. Terasa pilu kerana mereka yang aku
jumpa ini sudah tidak aktif lagi bergelanggang dan hanya memerhatikan perkembangan
Gayong dari jauh.
Susunan baris duduk dilakukan
sebelum upacara perlimau dijalankan. Semua peralatan telah disediakan lebih
awal lagi. Kelihatan susuk tubuh yang tegap menghampiri tempat kami dibariskan, dan muncullah Almarhum
Dato Meor Abdul Rahman , Mahaguru Silat Seni Gayong dengan wajahnya yang manis
tetapi serius. Lalu beliau duduk menghadap kami yang telah sedia duduk dalam
barisan.
Upacara perlimau pun dimulakan
dengan pembakaran kemenyan, diambilnya bertih lalu ditaburkan kedalam air dan
dengan menunduk beliau mengira jumlah bertih itu.Terkeluar dari mulutnya ,”40
orang ya”.Lantas disuruh seorang mengira jumlah kami dan nyata bilangan itu
adalah tepat. Almarhum berkata lagi, “ jumlah yang baik dan kumpulan yang baik
bilangannya ini”. Lalu beliau menyambung lagi, “ malam ini Dato nak bagi
sesuatu”. Aku yang berada dalam barisan
paling tengah bertanya dalam hati, “apakah yang hendak diberikannya?”.
Gambar Hiasan |
Upacara potong limau berjalan
dengan lancar dan dikalangan bilangan kami tadi seorang dari kami telah
ditabalkan dengan sandang Khalifah Muda semasa upacara perlimau itu . Mungkin
itulah agaknya firasat yang diterima oleh Almarhum. Setelah selesai upacara
perlimau dan kami masih duduk dalam barisan, lantas Almarhum berkata lagi,”malam
ini dato nak bagi amalan, kerana kumpulan ini kumpulan terbaik dalam firasat
Dato”. Kami pun menumpukan atas apakah bacaan amalan yag akan diijazahkan. Maka
beliau pun membaca sepotong ayat dari AlQuran dan meminta kami mengingatinya.
Lalu beliau berpesan tentang hikmah dan khasiat amalan tersebut.
Almahum Dato menyambung lagi
dengan amalan seterusnya. Kali ini diijazahkan amalan membersihkan diri iaitu mandi Gayong. Bacaan ini adalah dalam
bacaan mentera.sekali lagi kami kena mengingatinya, dan diterangkan juga
khasiat dan hikmahnya. Pada malam itu sahaja kami diijazahkan dengan beberapa
amalan dan dinasihatkan supaya mengamalkannya.
Setelah semuanya selesai dan
Almarhum Dato beredar kami pun bergegas mengambil apa sahaja yang boleh ditulis
lantas menulis amalan yang diberikan. Ada dikalangan kami yang duduk dibarisan belakang
sempat menyalin semasa Almarhum melafazkannya dan mudahlah bagi kami yang tidak
sempat ini menyalinnya semula. Selesai semuanya kami pun bergilir berlangir
limau dan menyempurnakan mandi Gayong sebagaimana adatnya yang dijelaskan pada
kami. Pengalaman bersama Almarhum memang sukar dilupakan dan setiap kali
terkenang akan menitiskan airmata. Dimohonkan pada Allah semoga dcucuri Rahmat
keatasnya dan mendapat berkat syafaat Nabi Muhammad s.a.w. AMIN
No comments:
Post a Comment