Friday, May 18, 2012

Ulasan Mengenai Nombor 7 Dalam Silat Seni Gayong


Kejadian alam semesta ini ada bilangannya. Keutamaan bilangan ini ada dilampirkan didalam ALQuran, sebagai contoh 7 petala langit dan 7 petala bumi. Dalam kajian ahli sufi nombor ini banyak boleh  menunjukkan apa yang tersembunyi di alam ini. Bilangan nombor ini memang sinonim dalam budaya  islamik alam Melayu baik dalam apa segi sekali pun. Tidak terkecuali juga dalam alam beladiri Melayu yang kita kenali sebagai silat.

Dalam Silat Seni Gayong  bilangan nombor dimulakan dengan nombor 7. Apa rahsia yang terkandong pada nombor ini? Mari kita cuba mengungkap rahsianya.

Mengikut apa yang disampaikan oleh Almarhum Dato Meor Abdul Rahman Mahaguru Silat Seni Gayong , bilangan ini adalah diambil dari semangat hulubalang Melayu yang masyhur iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Diambil kira dari ejaan huruf jawinya, “ta, waw, alif, ha” dan “jim,ba,ta”. Dari huruf ini dirangkulkan menjadi 7 huruf dan setiap huruf itu ada maksud  dan makna serta bilangan yang tersendiri pula. Sebagai contoh “alif” bilangannya adalah satu manakala “ba” bilangannya adalah 4 dan begitulah seterusnya.

Bilangan nombor ini bukan sahaja ada dalam perjalanan melangkah persilatan tetapi ada juga didalam amalan yang ditegaskan supaya seluruh anak-anak Gayong menyempurnakannya, iaitu  70000 kali surah AlIkhlas dan dikhatamkan.  Tersembunyi  didalam AlIkhlas ini juga 7 bilangan yang menjadi rahsia kecuali pada yang memahami. Apakah rahsia yang tersembunyi didalam AlIkhlas ini, sehingga ianya dinasihatkan supaya anak-anak Gayong menyempurnakannya. Rahsia yang amat besar iaitu rahsia alam ini yang terdiri dari 7 jua bilangannya iaitu rahsia 7 martabat alam.

Gambar Ihsan dari forum.lowyat.net

Kembali kita kepada perbincangan melangkah dalam bilangan 7 pada permulaan menapak Gayong. Diambil dari huruf jawi dua saudara hulubalang Tuah dan Jebat. Pernah atau tidak kita halusi atau amati buah tapak kunci mati satu atau namanya sawa berendam itu? Kalau dihalusi perbuatan alam melangkah ini pergerakan buah tapak kunci mati itu adalah hurufnya “ta”.  Begitulah diikuti “waw, alif, ha,jim,ba ,ta”.

Apakah lagi rahsia yang terkandung dalamnya setelah diintroduksikan pada permulaan melangkahnya? Rahsianya terlalu banyak yang mohon nasihat agar pembaca menuntut daripada guru yang arif dalam hal nombor bilangan Gayong ini baik dalam menapak maupun dalam mengamal. Sekiranya diperjelaskan lagi tentang nombor seterusnya 14,21,49 sehinggalah 349 seni yang dikenali sebagai seni yoi amatlah tidak wajar pada hemat penulis kerana ianya perlu dituntut.

Kerterbukaan penulisan hanya sekadar pembuka jalan bagi anak-anak Gayong yang betul-betul mahu mencari erti sebenar Gayong ini. Mudah-mudahan kita semua diberkati dan dengan fahaman ini dapatlah kita mengelak dari segala ketidakpuasan hati dari segi perjalanan Gayong ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...