Saturday, May 19, 2012

3 Langkah 7 Pukulan


Mari kita menyusul pula membuka minda mengenai elakan 7. Apa yang terkandung dalamnya? Elakan dalam ertikata pengertian mengalihkan atau bergerak sesuatu objek dari terkena oleh sesuatu objek yang lain. Jadi dalam konsep Silat Seni Gayong kenapa elakannya juga dimulakan dengan bilangan 7? Kena faham disini sebelum kita meneruskan ulasan ini, konsep Silat Seni Gayong hanyalah mengelak dan bukannya menangkis. Kaedah menangkis itu dalam Silat Seni Gayong sudah dikira pukulan. Konsep yang perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap yang mempelajari Silat Seni Gayong.

Kembali kita pada yang dikatakan 7 elakan itu. Mengelak selari, mengelak melangkah,mengelak mengundur dan ikuti seterusnya sebagaimana susunan latihan. Tapi apabila kita amati hanyalah 3 saja alam melangkahnya disitu. Kenapa 3 tidak 7? Sedangkan elakannya disebut 7 kaedah mengelak. Apa yang perlu difahamkan disini adalah 7 kaedah pukulan bukan 7 kaedah mengelak. Yang ingin dijelaskan disini adalah kemahiran mengelak dengan 7 pukulan,jadi dinamai ia dengan nama 7 kaedah elakan.

Kemahiran melangkah dengan 3 kaedah membolehkan pelatih Gayong melakukan serangan atau pukulan dengan 7 kaedah. Langkah yang dimahirkan disini adalah dalam konsep jarak dekat , jarak sederhana dan jarak jauh. Kesemua konsep ini dimahirkan agar pelatih Gayong dapat membela diri dalam keadaan atau situasi pelbagai .

Gambar Hiasan


Manakala konsep 7 pukulan diterapkan agar kemahiran yang diterima dan dilatihkan dilakukan dari pukulan atas sampai kebawah serta ada tangkapan disitu. Posisi-posisi badan dalam mengelak telah semula jadi menyediakan pelatih Gayong menepati sasaran yang diperlukan. Kalau kaedah ini dimahirkan dan dilatihkan serta diamati ,pencapaian kaedah yang dikatakan seni akan dirasai. Lengkaplah nanti apa yang dikatakan tapak dan seninya sekali. Perkara ini bukanlah mudah untuk dikuasai , ia memerlukan masa dan kesabaran yang tinggi untuk menjadi pakar dalam seninya.Latihan yang berterusan membolehkan itu semua serta tunjuk ajar dan nasihat yang jitu dan berpengalaman bernas  dari guru amat penting untuk memahami konsep dan kaedah ini.

Secara dasarnya yang dikatakan elakan 7 itu adalah rangkuman kemahiran 3 langkah serta susulan 7 serangan atau pukulan lantas dinamai ia sebagai 7 kaedah mengelak. Kemahiran 3 langkah ini ibarat bermain catur mencari ruang mematikan langkah lawan dan disusuli dengan 7 kaedah pukulan atau serangan.

Kalau dalam Seni Tapak Kunci Mati bilangannya adalah 7 hasil dari cantuman nama dalam ejaan jawi dua hulubalang Melaka manakala dalam elakan pula langkahnya 3 serta mempunyai 7 kaedah pukulan .Persoalannya sekarang kenapa langkahnya hanya 3 tidak 7 ? Perlu difahami dalam Seni Tapak Kunci Mati juga langkahnya juga adalah 3, cuma bezanya cara menangkap seninya itu yang dikatakan 7 berdasarkan ejaan semangat Jawinya. Apa semangat jawinya? Semangat ini membawa banyak rahsia atau pengertianya, salah satu rahsia alam berserta dengan huruf ini.Hanya yang arif mengetahui.Kalau kaedahnya dalam Seni Tapak Kunci Mati , mangsa yang kena kunci dalam keadaan sebenar sudah diibarat tidak merasai sesuatu atas perbuatan terhadapnya kerana rahsianya telah terkandung dalam rahsa kita. Untuk mengetahui ini perlu guru yang arifbillah untuk menjelaskannya. Itulah Silat Seni Gayong yang dikatakan SENI GAYONGnya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...