Tuesday, May 13, 2014

Gerakan Baris



Dalam penulisan kali ini ingin saya berkongsi satu bentuk atau kaedah arahan yang diterapkan dalam Silat Seni Gayong. Ingatan ini diulitkan dan terngiang-ngiang dengan arahan bergelanggang itu. Sudah maklum badan Silat yang pertama tersusun dan bersistematik adalah Silat Seni Gayong. Susunan ini dapat dilihat didalam gelanggang latihannya. Setiap arahan dalam melakukan latihan disertai dengan susunan atau panduan arahan yang tertentu. Apabila diteriakkan sahaja arahan tersebut kesemua anak Gayong yang berada dalam gelanggang sudah tahu apa yang diarahkan. Dari membuka gelanggang sehinggalah selesai latihan yang dijalankan.

Sering kita dengar digelanggang Gayong arahan yang dilaksanakan adalah berbunyi, "Gayong bersedia..." ,"Gayong senam diri...", "Gayong kiri kanan pusing " dan sebagainya. Itu adalah bentuk-bentuk arahan yang diberikan semasa latihan dalam gelanggang.  Arahan-arahan ini umum dijalankan di kebanyakan gelanggang Gayong.

Tahukah kita bahawa Silat Seni Gayong memang ada arahan yang telah tersusun dengan sebutan yang khusus. Arahan ini dikenali atau dinamakan dengan sebutan  GERAKAN BARIS {merujuk kepada dokumen yang disahkan oleh Almarhum Dato Meor Abdul Rahman yang didalam simpanan penulis.} Didalam arahan gerakan baris ini ada 5 arahan gerakan. Apabila sahaja diarahkan dengan gerakan baris ini kesemua anak Gayong yang berada dalam gelanggang sudah tahu apa yang seharusnya dilakukan.Disini dapat dilihat tahap disiplin yang diterapkan keatas anak-anak Gayong. Amat penting sebagai permulaan tata budi,adap tertib,sopan santun bagi yang bergelar anak Gayong.

Terima kasih Google
Disini saya kongsikan sebahagiannya untuk pengetahuan anak-anak Gayong, kategori pertama arahan yang terkandong didalam Gerakan Baris . Arahan gerakan baris ini disebut dalam bilangan nombor dan apabila nombor ini disebut sudah pasti apa yang akan dilakukan seterusnya.

Arahan Gerakan Baris yang pertama disebut sebagai Gerakan Barisan Satu. Apakah yang terkandong didalam arahan ini.? Apabila arahan ini diberikan kesemua anak Gayong yang berada didalam gelanggang akan terus bersiap sedia untuk melakukan gerakan anak harimau, yang dikategorikan dalam bahagian tapak Gayong. Barulah arahan diteruskan dengan apakah gerakan yang akan dilakukan , sebagai contoh Tumbuk Pintal Tali atau Panchong Dayong dan sebagainya.

Apabila sudah selesai segala gerakan anak harimau dilakukan sebagaimana arahan guru.Anak-anak Gayong disebutkan pula dengan gerakan baris keseterusnya iaitu Gerakan Barisan Dua. Dalam arahan gerakan barisan dua ini, perkara yang perlu dilakukan adalah elakan serangan atau sekarang dikenali hanya sebagai  asas elakan sahaja yang mengandungi 7 kaedah yang dikategorikan dalam bahagian tapak kunci mati.

Gerakan Barisan Ketiga pula adalah arahan yang diberikan apabila barisan hendak dibuat pemeriksaan.Apabila barisan anak-anak Gayong yang sedang berbaris diberikan arahan ini , dengan sendirinya mereka akan berdiri dalam keadaan bersedia kaki dirapatkan. Apabila ini berlaku satu pemeriksaan barisan akan dilakukan oleh pembesar-pembesar Gayong keatas barisan anak-anak Gayong ini. Dilakukan didalam gelanggang latihan dan semasa acara-acara Silat Seni Gayong yang besar.

Keterangan diatas adalah sebagai penambahan pengetahuan buat kita anak-anak Gayong yang sayangkan khazanah Gayong ini. Untuk gerakan baris seterusnya iaitu Gerakan Barisan Empat dan Gerakan Barisan Lima memang sengaja saya tidak kongsikan kerana saya mahu anak-anak Gayong menuntut dan mendengar cerita berhadapan dengan guru-guru Gayong yang berkaliber dan masih banyak lagi menyimpan khazanah ilmu Gayong ini.Dalam mempelajari seni pertahanan ini penulisan hanyalah sebagai pembuka minda buat kita menziarah guru dan menyambung silaturahim Gayong ini.Jangan dijadikan alam media ini sebagai guru kita dan berasa senang dengannya kerana itulah yang banyak terjadi sekarang. Maaf dari saya. Sama sendiri bantu membantu segala hajat dapat dituju.

Semoga kita diberkati.



No comments:

Post a Comment