Friday, July 12, 2013

Satu Lengan Dua Jengkal



Satu lengan ,dua jengkal, begitulah pepatah Melayu dalam mengkiaskan ilmu beladiri nusantara ini. Ketahui atau tidak dalam keilmuan Silat Seni Gayong wujud akan kaedah ini. Apakah yang diertikan dalam keilmuan Gayong tentang ini? Amat mudah menyebut  tapi apakah rahsia yang diselubungi padanya? Teringatkan sebuah rencana yang pernah disiarkan di TV3 suatu ketika dahulu, tersohor dengan kalimahnya, "Jangan Anda Diselubungi Misteri". Begitu jugalah misteri yang terselubung dalam pepatah ini. Misteri tentang teknik pukulan yang ada dalam Silat Seni Gayong yang berkait rapat dengan langkahnya. Langkah yang meninggalkan dan membawa banyak makna dan pengertian konsepnya. Berdiri seperti Alif, bergerak dalam pengertian yang amat rahsia, berlingkar dalam ruangan yang penuh tanda-tanya serta keindahan serangan yang amat tepat dan jitu.Serangan yang meninggalkan kesan yang amat dahsyat serta mendatangkan kengerian apabila kaedahnya diperlakukan. Tidak dapat disangkal lagi satu kaedah pertempuran dalam kadar yang amat pantas yang diperlakukan dalam detik yang amat tangkas.

Satu lengan, dua jengkal, begitulah istilahnya. Mulai dari hujung kehujung , dari pertimbangan yang stabil menjadi goyah dengannya. Kelemahan yang dialami amat sukar dibendung, ibarat pokok yang akan layu apabila terkena akan panahannya. Itulah kehebatannya yang menjadi pakaian para hulubalang dahulu dalam mengawal kerajaan Melayu yang amat penuh rahsia suatu masa dahulu.

sekadar gambar hiasan

Bagaimanakah mampu kita mengukur istilah ini? Ukuran yang disembunyikan dalam kiasan pepatah Melayu ini.Dalam ukuran inilah adanya jarak pukulan,adanya sasaran,adanya kelajuan,adanya ketangkasan dan pelbagai lagi yang setiap anak yang bergelar Gayong perlu fahami.Perlakuan serangan pada kadar jangkaan ukuran pada tubuh dan ruangan yang akan menyebabkan kelemahan.

Keilmuan yang perlu digali sebagai bekal perjalanan perantau dalam mengenal alam ini. Berdiri dalam "alif ", mati dalam "mim", bergerak dalam" dal ",berlingkar dalam langkah "lam alif" alam kehidupan makhluk. Turun dari langit jatuh kebumi, singgah seketika diawan yang berdomba sebelum kepenghujung pengembaraannya.Langkah yang disisip tanpa terawang,mengelak dari tiupan bayu durjana, agar tidak terlalai.

Panahan yang terkena bisa mengegarkan alam yang berdiri ini dan mula mengingat akan asal jadinya dengan penuh keinsafan. Gerakan sasaran yang mudah difahami,mudah diapplikasi sertai dengan langkah tapak yang perlukan latihan yang berulangkali agar ia bisa berdiri pada titik "mim".

Berkisar pada silat apakah pengertiannya? Seni pula apakah ia? Silat secara dasar dan fahaman yang ringkas diistilahkan banyak-banyak manakala Seni kadang-kadang dan Gayong tentulah jarang sekali kedengaran. Begitu jugalah dengan ikatan bengkong yang ada dalam Silat Seni Gayong. Suatu gambaran penilaian akan keilmuan Gayong ini, bukan pelajarannya.

Maka marilah kita bersama mencari keserasian keilmuannya dalam istilah satu lengan,dua jengkal ,agar kita memahami Silat Seni Gayong ini.

Semoga kita diberkati.

No comments:

Post a Comment