Tuesday, March 12, 2013

Pecahan Tapak Satu Perkongsian




Terhenti langkah seketika, teringat kembali saat berlatih dahulu,kini dan selamanya.Topik yang hendak dikongsikan adalah mengenai pecahan. Setelah kita mempelajari perkara asas Silat Seni Gayong, pemahaman kita diteruskan dengan pecahan tapak.

 Apakah pecahan tapak ini? 

Pecahan tapak ini adalah satu kaedah pemahaman tentang aspek olahan gerak laku dari kaedah pembelaan dalam konteks falsafah Silat Seni Gayong. Apa yang perlu difahami disini adalah tentang Tapak Gayong ini.Ada kaedah mengenal pasti akan pola Tapak Gayong ini,bukan dengan mudah untuk memecahkannya. Tidak menjadi persoalan jika masih juga ingin memecahkannya tetapi keaslian tapak tersebut akan hilang dan keberkesanan pola seterusnya akan pudar.

Amat mudah untuk memecahkannya tetapi jika tiada pemahaman akan menjadi sukar sepenuhnya dan ianya akan menjadi sumbang. Bukan sahaja sumbang dari segi langkah sahaja malah ia akan berkait dengan pukulan maupun kuncian yang bakal kita lakukan.

Sekadar Gambar Hiasan

Pemahaman formula tentangnya adalah amat penting dan kata kekunci itu menjadi panduan kepadanya.Kita mengambil contoh dalam melakukan Seni Tapak Kunci Mati yang dinamakan sebagai Sawa Berendam.Kita mudah mengaplikasikannya mungkin ,kerana latihan yang kita sering jalankan,

TETAPI apabila melakukan pecahan kuncian ini adakah ianya menepati piawaian asas yang ada padanya. Langkahnya,tangkapannya,kunciannya,jaraknya, kaedah memusnahnya dan itu dan ini. Hanya yang diberi kenal manikam sahaja berupaya melakukannya kerana SENI pemahaman Gayong itu telah tersemat dijiwanya.Ibarat tersematnya lambang naga disisi kiri bajunya.

Ada satu kaedah yang amat penting dalamnya yang mana perlulah dicari dari guru yang arif tentangnya.Tulisan ini sekadar pembuka minda buat yang mencari agar dapat kekal keasliannya. Dalam erti kata melihat sekali sahaja lenggoknya kita sudah dapat mengenal pasti keasliannya dan kalaulah ianya sudah jelas aslinya tindakan susulan seperti kuncian dan pukulan tidak akan dapat kita sangkal lagi dan pastilah asli juga jadinya.

Kesilapan yang kerap dilakukan adalah kerana fahaman kita yang sejengkal hendak dijadikan sedepa. Kaedah aslinya kita masih kabur masih tercari-cari dan tertanya-tanya. Apabila ini berlaku maka perbuatan kita itu akan hilang nilai-nilai Seni Gayongnya.Mungkin kita berasa puas hati atasnya tetapi pada dasarnya ia tersasar dari formula rahsianya.

Kalau sudah mengenalnya tidak akan ada nada negatif malah boleh duduk serumpun bersama memeriahkan suasana lengok langkah bersahut bersambut.

Semoga kita semua diberkati

                                                  Lenggok langkah tarinya,
                                                  Kelek kekanan disedarinya,
                                                  Sepi sunyi asyiknya,
                                                  Qiam,fana lagaknya.

                                                  Dalam huruf duduknya,
                                                  Huruf tujuh jadinya,
                                                  Bertitik sudah tandanya,
                                                  Supaya mengenal asalnya.


No comments:

Post a Comment